Standard Komuniti menentukan perkara yang boleh diterima untuk dikongsikan dan melarang kandungan memudaratkan, termasuk ucapan berunsur kebencian, pembulian dan gangguan serta imej intim yang dikongsi tanpa persetujuan.
Apabila kami mendapati wujud risiko sebenar terhadap kemudaratan fizikal atau ancaman langsung kepada keselamatan awam, kami akan mengalih keluar kandungan, menyahdayakan akaun dan bekerjasama dengan perkhidmatan kecemasan tempatan.
Dasar kami tidak membenarkan kandungan yang mendedahkan individu sebagai ahli kumpulan berisiko yang ditetapkan dan dikenali, atau yang mengancam keselamatan LGBTQ+ dengan mendedahkan orientasi seksual atau identiti jantina mereka tanpa kerelaan atau tanpa kebenaran.
Kami percaya bahawa orang ramai menggunakan suara mereka dan berhubung dengan lebih bebas apabila mereka tidak berasa diserang berdasarkan pengenalan diri mereka. Itulah sebabnya kami tidak membenarkan tingkah laku berunsur kebencian pada Facebook, Instagram atau Threads.
Kami mentakrifkan tingkah laku berunsur kebencian sebagai serangan langsung terhadap orang — dan bukannya konsep atau institusi — berdasarkan perkara yang kami panggil sebagai ciri dilindungi (PC): bangsa, etnik, kewarganegaraan, ketidakupayaan, kepercayaan agama, kasta, orientasi seksual, jantina, identiti jantina dan penyakit serius. Selain itu, kami menganggap umur sebagai ciri dilindungi apabila dirujuk berserta ciri dilindungi yang lain. Kami juga melindungi pelarian, imigran dan pencari suaka daripada serangan yang sangat teruk, namun kami membenarkan komen dan kritikan terhadap dasar imigrasi. Begitu juga, kami menyediakan beberapa perlindungan untuk ciri yang tidak dilindungi, seperti pekerjaan, apabila dirujuk berserta ciri dilindungi. Kadangkala, berdasarkan budaya setempat, kami menganggap sesetengah perkataan atau frasa sebagai proksi yang kerap digunakan bagi ciri dilindungi.
Kami mengalih keluar ucapan mengaibkan, dakwaan tidak bermoral atau jenayah yang serius dan penghinaan. Kami juga mengalih keluar penggunaan stereotaip berbahaya, yang kami takrifkan sebagai perbandingan tidak berperikemanusiaan yang pernah digunakan untuk menyerang, menakut-nakuti, atau mengecualikan kumpulan tertentu serta yang sering dikaitkan dengan keganasan luar talian. Akhir sekali, kami mengalih keluar hinaan serius, ungkapan penghinaan atau menjijikkan, kata-kata kesat, serta seruan terhadap pengecualian atau pengasingan apabila menyasarkan orang berdasarkan ciri dilindungi.
Kami menyedari bahawa terdapat orang yang kadangkala berkongsi kandungan yang mengandungi penghinaan atau ucapan orang lain untuk menyelar atau melaporkan perkara tersebut. Dalam keadaan lain, ucapan, yang mengandungi penghinaan, yang mungkin melanggar standard kami digunakan sebagai rujukan kendiri atau memberikan pemerkasaan. Kami membenarkan ucapan sebegini apabila niat penceramah adalah jelas. Apabila niat tidak jelas, kami mungkin mengalih keluar kandungan.
Terdapat pelbagai bentuk pembulian dan gangguan, termasuk mesej ugutan, hubungan berniat jahat yang tidak diingini dan pendedahan maklumat peribadi. Kami tidak bertolak ansur terhadap tingkah laku ini.
Meta memandang tokoh masyarakat dan orang perseorangan secara berbeza untuk membolehkan perbincangan, yang boleh merangkumi komentar kritikal terhadap orang yang diketengahkan dalam berita atau dengan khalayak awam yang besar. Bagi tokoh masyarakat, Meta mengalih keluar siaran yang menggunakan istilah cacian, menyeru perlakuan serangan atau eksploitasi seksual, menyeru perlakuan gangguan besar-besaran atau mengancam akan mendedahkan maklumat peribadi.
Kami menyedari bahawa pembulian dan gangguan boleh memberikan kesan emosi dan fizikal yang lebih besar terhadap kanak-kanak, yang menyebabkan dasar kami menyediakan perlindungan yang lebih menyeluruh bagi golongan muda.
Perkongsian imej intim tanpa persetujuan melanggar dasar kami, begitu juga ancaman untuk berkongsi imej tersebut. Kami mengalih keluar imej yang dikongsikan pada Facebook dan Instagram yang bertujuan untuk membalas dendam atau tanpa keizinan, serta foto atau video yang menggambarkan insiden keganasan seksual. Kami juga mengalih keluar kandungan yang mengancam atau menggalakkan keganasan atau eksploitasi seksual.
Buat laporan apabila seseorang berkongsi imej intim anda tanpa persetujuan anda atau mengancam mahu berbuat demikian. Pasukan kami menyemak laporan 24/7 dalam lebih daripada 70 bahasa dan akan mengalih keluar imej atau video intim yang dikongsikan tanpa persetujuan. Kami juga akan mengalih keluar sebarang kandungan yang mengancam mahu berkongsi imej intim tanpa persetujuan. Dalam kebanyakan kes, kami menyahdayakan akaun yang berkongsi, atau mengancam mahu berkongsi kandungan sebegitu pada teknologi kami.
Untuk menghentikan percubaan selanjutnya untuk berkongsi imej yang dialih keluar, kami menggunakan teknologi pencegahan iaitu pemadanan foto. Jika seseorang cuba berkongsi imej selepas imej itu dilaporkan kepada kami dan dialih keluar, kami akan memaklumi mereka bahawa tindakan itu melanggar dasar kami. Kami juga menghentikan percubaan perkongsian semula dan mungkin menyahdayakan akaun tersebut. Kami menggalakkan agar anda melaporkan peras ugut seks, iaitu keadaan orang mengugut atau memaksa seseorang berkongsi foto atau video intim. Perbuatan ini melanggar Standard Komuniti dan, dalam sesetengah keadaan, melanggar undang-undang.
Jika anda mahu melaporkan tindakan yang melanggar Standard Komuniti, seperti ucapan berunsur kebencian, pembulian dan gangguan atau keganasan, pergi ke kandungan yang ingin anda laporkan dan gunakan pautan “Cari Sokongan” atau “Laporkan”. Kami mempunyai pasukan pakar yang menyemak laporan kandungan yang membuat pelanggaran 24/7 dalam lebih daripada 70 bahasa, dan kami menggunakan teknologi kecerdasan buatan yang menemukan dan mengalih keluar kandungan ini sebelum dilihat oleh pengguna lain.
Kami mengamalkan tindakan terbuka dan proaktif apabila melindungi privasi, keselamatan dan akses kepada maklumat pengguna dalam talian. Kami telah menerbitkan laporan ketelusan dua kali setahun sejak 2013. Kami juga menerbitkan Laporan Penguatkuasaan Standard Komuniti setiap suku tahun, yang merangkumi data tentang tindakan yang telah kami ambil terhadap kandungan yang melanggar peraturan pada Facebook, Messenger dan Instagram. Kami percaya bahawa usaha meningkatkan ketelusan membawa kepada peningkatan akauntabiliti dan kebertanggungjawaban.