
Pelajar saya dibuli
Pembulian di sekolah datang dalam pelbagai bentuk dan selalunya memberikan kesan terhadap perasaan dan prestasi kanak-kanak dalam bidang akademik. Ketahui cara anda boleh menangani situasi jika pelajar anda dibuli.
Wujudkan perbualan terbuka dan adil.
Pelajar anda mungkin malu atau gementar untuk meluahkan perasaan, jadi pertimbangkan masa dan ruang terbaik untuk berbual. Jika boleh, sebaiknya bercakap sejurus selepas kejadian itu berlaku untuk membantu melegakan tekanan emosi.
Hilangkan gangguan untuk memastikan pelajar anda tahu bahawa anda benar-benar prihatin dan mendengar secara aktif. Reaksi anda boleh membantu pelajar anda mengawal emosi mereka. Cuba bertenang sebaik mungkin semasa anda membincangkan situasi tersebut. Dengar tanpa mencelah atau membuat kesimpulan.
Berikut ialah panduan tambahan tentang cara untuk kekal menyokong dan berlaku adil:
Siasat kejadian tersebut.
Dalam sesetengah kes, anda perlu berbual secara peribadi dengan semua orang yang terlibat. Pertama sekali, bercakap dengan pelajar yang dibuli dan kemudian mana-mana saksi sebelum bercakap dengan orang (atau sekumpulan orang) yang dituduh membuli. Sekiranya sekumpulan orang terlibat dalam kes buli, cuba halang mereka daripada bercakap antara satu sama lain semasa siasatan.
Atasi situasi mendesak.
Jika pelajar tersebut diugut secara fizikal, beritahu mereka bahawa anda akan melakukan apa-apa sahaja yang termampu untuk memastikan keselamatan mereka. Hubungi pihak berkuasa sekolah yang berkenaan dan ceritakan situasi itu dengan serta-merta. Sekiranya pelajar anda berasa sangat susah hati dan menunjukkan tanda mencederakan dirinya sendiri, jangan tinggalkan mereka bersendirian. Dapatkan bantuan segera.
Buat perancangan.
Tentukan perkara yang perlu dilakukan seterusnya berdasarkan perbualan anda. Berikan sokongan dan bimbingan walaupun anda dan pelajar anda bersetuju bahawa keadaan tidak cukup serius untuk diperbesarkan. Jika kejadian itu wajar dilaporkan, terangkan dasar sekolah dan bantu mereka melaporkan situasi itu dengan sewajarnya. Jika boleh, minta ahli kakitangan seperti pekerja sosial, ahli psikologi atau pengetua untuk menyokong anda dan pelajar anda.
Penyelesaian konflik dan pengantaraan rakan sebaya bukanlah respons yang wajar untuk situasi pembulian. Pembulian melibatkan ketidakseimbangan kuasa dan merupakan suatu bentuk penderaan. Penyelesaian konflik dan pengantaraan rakan sebaya adalah sesuai apabila kedua-dua pihak berkongsi tanggungjawab yang tidak berlaku untuk tingkah laku buli.
Buat susulan.
Berbual dengan pelajar anda untuk mengetahui khabar mereka pada hari dan minggu berikutnya. Tanyakan sama ada situasi tersebut telah selesai dan sama ada mereka berasa selesa berada di sekolah.
Berikan sokongan berterusan tetapi jangan urus secara bersendirian. Pastikan kakitangan atau pakar lain terlibat dalam membantu anda menangani insiden tersebut.