
Hentikan peras ugut seks–
remaja
Anda tidak keseorangan. Anda boleh mengendalikan perkara ini dan sumber ini direka untuk membantu anda. Jika anda merupakan mangsa peras ugut seks atau sedang mencari cara menjadi rakan yang baik, ambil tindakan ini sekarang.
Enam cara bertindak balas terhadap peras ugut seks

Untuk saya
Peras ugut seks adalah apabila seseorang dalam talian mengancam akan berkongsi imej atau video eksplisit (bogel atau seksual) melainkan anda memenuhi permintaan mereka. Permintaan ini biasanya termasuk menghantar wang, mengambil lebih banyak gambar atau video bogel atau seksual, atau lain-lain aktiviti yang menyalahi undang-undang. Ancaman ini datang daripada pelbagai jenis orang, sebagai contoh, orang asing yang anda temui dalam talian, seseorang yang berpura-pura menjadi orang lain dalam talian dan pasangan romantis atau seksual yang lalu.
Beberapa petanda bahawa sesuatu mesej mungkin berunsur peras ugut seks adalah: orang itu berkata “Saya akan tunjukkan kepada anda kepunyaan saya, jika anda berbuat demikian”, orang itu berpura-pura daripada agensi pemodelan dan meminta gambar, orang itu menggunakan foto yang telah diubah suai menggunakan photoshop agar kelihatan nyata, orang itu ingin membina hubungan romantis dengan cepat, atau mereka menggunakan berbilang identiti (palsu) untuk menghubungi anda. Jika kedengaran seperti ada udang di sebalik batu, percayai naluri anda.
Ini bukan salah anda. Anda tidak bersendirian dan anda boleh menangani perkara ini.
Jika seseorang meminta anda berkongsi sesuatu yang menyebabkan anda berasa tidak selesa, anda boleh menolak, walaupun anda sudah berkongsi sesuatu dengan mereka sebelum ini. Jika mereka cuba membuat anda berasa bersalah, sentiasa ingat: merekalah yang sebenarnya melakukan kesalahan.
Petua pro: Sekiranya seseorang tahu kata laluan anda, ubah dengan segera untuk mengekalkan privasi anda.
Hubungi rakan karib, guru, kaunselor atau ibu bapa. Tidak tahu cara mengutarakan isu ini? Anda boleh memulakan perbualan seperti ini: "Ada sesuatu yang berlaku dalam hidup saya yang saya perlukan bantuan. Saya tidak pasti dengan siapa saya mahu bercakap. Jika saya beritahu awak, bolehkah awak bantu saya memikirkan perkara yang perlu dilakukan?"
“Mendapatkan bantuan ialah perkara terbaik yang boleh anda lakukan. Insan di sekeliling anda mahukan yang terbaik untuk anda. Mereka mungkin akan marah pada mulanya, namun mereka tetap sayang akan anda... Selain itu, mereka mungkin akan berasa bangga dengan keberanian anda..” - Perempuan, 18, mangsa peras ugut seks yang terselamat
Tindakan berkongsi, mengancam atau memaksa orang untuk berkongsi foto atau video intim adalah bertentangan dengan dasar kami. Kami mengambil tindakan ke atas mereka yang melakukan kesalahan setiap kali kami maklum tentang perkara itu. Dalam sesetengah keadaan, hal ini juga bertentangan dengan undang-undang. Untuk mengetahui cara melaporkan kandungan, termasuk mesej, lawati pusat bantuan kami untuk Facebook dan Instagram. Hubungi pihak penguatkuasaan undang-undang tempatan anda jika anda berada dalam bahaya dan memerlukan bantuan segera. Ketahui lebih lanjut tentang alat keselamatan Meta untuk membantu anda kekal selamat.
Serahkan kes berserta sebarang imej atau video diri anda kepada Take It Down. Ini ialah perkhidmatan percuma untuk mencegah penyebaran imej dan video intim. Anda boleh kekal tanpa nama dan anda tidak perlu menghantar imej atau video anda kepada sesiapa pun.
Sekat si pemeras ugut, tetapi jangan padam profil atau mesej anda. Ini mungkin seperti bertentangan dengan hal yang anda fikirkan, tetapi simpan semua yang telah dikatakan kepada anda dan yang telah anda katakan. Ini akan menunjukkan kepada seseorang perkara yang sedang berlaku, bukan sekadar bergantung pada ingatan anda. Simpan semua butiran sebagai langkah berjaga-jaga.
Lihat halaman sokongan krisis untuk mencari organisasi berhampiran yang boleh membantu anda. Anda juga boleh menghubungi talian penting tempatan menerusi Rangkaian InHope untuk membuat laporan atau mendapatkan bantuan. Jika anda berumur bawah 18 tahun dalam imej, sila maklumkan kepada talian bantuan yang dapat membantu orang ramai mengetahui bahawa anda masih di bawah umur secara sah dan mengambil tindakan yang lebih agresif.

Untuk rakan
Beritahu rakan terdekat anda hari ini bahawa mereka boleh mempercayai anda jika hal ini pernah berlaku kepada mereka. Kita hidup dalam dunia digital dan menyeronokkan untuk melayari maklumat, tetapi kadangkala keadaan ini sangat sukar. Apabila bercakap tentang peras ugut seks, kita perlu memerhatikan rakan-rakan kita, diri sendiri dan berusaha sedaya upaya untuk mewujudkan ruang digital yang selamat.
Jika rakan anda mengalami peras ugut seks, kongsi ini dengan mereka: “Anda perlu tahu sekiranya seseorang cuba menggunakan foto atau video anda untuk menyuruh anda melakukan sesuatu yang anda tidak mahu lakukan – saya akan ada bersama anda, saya tidak akan mengecam anda dan kita akan cari jalan penyelesaian bersama-sama.” Tawarkan sokongan kepada rakan anda dan bantu mereka. Jangan ambil tindakan bagi pihak rakan anda. Biarkan mereka menentukan perkara yang ingin mereka lakukan. Bayangkan perasaan itu dan berikan galakan.
Anda juga boleh membantu rakan anda sebelum mereka memerlukan bantuan dan sekarang ialah masanya. Peras ugut seks menimbulkan perasaan kurang selesa dan orang yang mengalami perkara ini biasanya agak takut untuk memberitahu rakan mereka. Rakan anda perlu tahu bahawa anda akan ada bersama mereka jika sesuatu seperti peras ugut seks berlaku. Beritahu mereka sekarang — apabila semuanya dalam keadaan baik — dan sekerap yang boleh.
Kongsikan video ini dengan semua rakan anda supaya mereka dan anda maklum tentang peras ugut seks dan cara hal itu berlaku. Ketika berkongsi, beritahu rakan anda bahawa anda akan ada bersama mereka walau apa pun yang berlaku.
Perkara ini sangat mudah: Jangan berkongsi foto atau video intim orang lain. Anda mungkin dianggap bertanggungjawab dari segi undang-undang jika anda memajukan imej ini bergantung pada undang-undang di negara anda.
Peras ugut seks boleh mengakibatkan pembulian dan menjadikan seseorang berasa benar-benar keseorangan. Tingkatkan keyakinan rakan anda dengan memberitahu mereka tentang keunikan yang anda lihat dalam diri mereka dan sebab anda menyukai perkara tersebut.