Kemajuan dan akauntabiliti teknologi
Di Meta, kami tahu bahawa salah satu tanggungjawab kami yang paling penting adalah memastikan orang muda selamat dalam talian. Kami menggunakan alat peneraju industri untuk memerangi eksploitasi seksual kanak-kanak dan kami melaporkan kandungan yang melanggar kepada NCMEC (Pusat Kebangsaan untuk Kanak-Kanak Hilang & Dieksploitasi) dengan serta-merta.
Gambaran Keseluruhan
Kami berusaha untuk berfikiran terbuka dan proaktif dalam melindungi privasi orang ramai, keselamatan dan akses kepada maklumat dalam talian. Ini termasuk ketelusan tentang teknologi keselamatan kanak-kanak kami. Kami percaya bahawa peningkatan ketelusan membawa akauntabiliti dan tanggungjawab yang lebih besar.
Campur tangan teknologi
Kami mengambil pendekatan serampang tiga mata untuk perlindungan kanak-kanak: cegah, kawal dan respons. Pendekatan ini disesuaikan dengan setiap teknologi sama ada untuk profil Facebook awam atau mesej Instagram. Kami juga telah berusaha untuk meningkatkan pemahaman kami tentang sebab orang ramai berkongsi bahan eksploitasi kanak-kanak pada platform kami. Usaha tersebut membantu kami membangunkan penyelesaian teknologi yang berkesan dan bersasar.
Dalam perkhidmatan pemesejan peribadi kami, kami menggunakan gabungan alat untuk mencegah, mengesan dan bertindak balas terhadap kandungan berbahaya. Messenger dan sembang Instagram mempunyai ciri untuk memberikan amaran kepada remaja apabila berinteraksi dengan orang dewasa yang mungkin tidak mereka kenali. Hal ini memperkasakan mereka untuk mengambil tindakan sebelum membalas mesej. Di WhatsApp, kami juga mempunyai ciri dan kawalan tersuai yang membantu mencegah eksploitasi dan penyalahgunaan.
Kami juga menambah alat dan sumber baharu untuk menyokong ibu bapa dan remaja dalam VR dan di Instagram.
Selain itu, kami menggunakan teknologi pengesanan untuk mencari, mengeluarkan dan melaporkan kandungan eksploitatif. Sebagai contoh, kami menggunakan alat padanan imej untuk mengimbas kemungkinan bahan penderaan seksual kanak-kanak apabila kandungan dimuat naik.
Satu lagi kemajuan ialah penggunaan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin untuk bertindak balas terhadap pelbagai bahaya, termasuk penyiaran kebogelan kanak-kanak, interaksi yang tidak diingini antara orang dewasa dengan remaja, dan kemungkinan “antun seksual.”
Kemajuan ini dan semua inisiatif lain yang berkaitan sentiasa diteruskan. Ketahui lebih lanjut tentang usaha kami untuk melindungi golongan muda di ruang dalam talian awam dan peribadi.
Perkongsian
Perlindungan kanak-kanak memerlukan tindak balas global. Tindakan diperlukan daripada pemimpin industri, penguat kuasa undang-undang, kerajaan, masyarakat awam dan keluarga. Kami komited untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk membina dan menyokong ekosistem keselamatan kanak-kanak. Kami juga bekerjasama dengan Tech Coalition, sebuah pakatan syarikat global yang bekerjasama untuk melindungi kanak-kanak dalam talian.