
Dasar keselamatan
Kami komited untuk menjadikan teknologi Meta selamat. Kami mengalih keluar kandungan yang boleh menyumbang kepada risiko bahaya kepada keselamatan fizikal orang. Kandungan yang mengancam orang berpotensi untuk menakut-nakutkan, meminggirkan atau membisukan orang lain dan ini tidak dibenarkan pada teknologi kami.
Standard Komuniti
Kami menggalakkan persekitaran yang memiliki rasa empati dan hormat serta memberikan kebebasan bersuara kepada kumpulan yang sering dipinggirkan atau dikecualikan daripada perbualan. Kami mempercayai usaha untuk membenarkan perbincangan berlaku secara bebas sambil mewujudkan persekitaran yang selamat bagi semua orang yang ingin meluahkan perasaan mereka. Demi mempertahankan nilai ini, kami membangunkan dasar untuk menggalakkan persekitaran yang selamat dan mesra bagi pengguna Meta di seluruh dunia.
Standard Komuniti menyediakan asas untuk suara menggunakan Facebook, Instagram, Threads dan Messenger setiap hari. Dasar ini mentakrifkan perkara yang boleh dan tidak boleh dikongsi. Dasar ini tidak bertujuan untuk menetapkan nada sekatan dan kesenyapan, sebaliknya mewujudkan persekitaran yang selamat untuk meluahkan perasaan.
Mewujudkan ketelusan dan tanggungjawab.
Untuk mengikuti perubahan yang berlaku di dalam dan luar talian, kami bekerjasama dengan pakar luar untuk mengumpulkan maklum balas dan memperhalusi dasar, alatan dan sumber kami. Kami berunding dengan pakar keselamatan dari seluruh dunia yang pakar dalam bidang keselamatan dalam talian serta membantu memaklumkan teknologi, dasar dan sumber kami. Ini termasuk Penasihat Keselamatan, Penasihat Pakar Keselamatan Wanita Global, Penasihat Belia, pakar pencegahan bunuh diri, dsb.
Untuk mempertahankan falsafah kami dalam memberikan kebebasan bersuara kepada semua pengguna teknologi kami, Meta turut menerbitkan Laporan Penguatkuasaan Standard Komuniti suku tahunan dengan maklumat terkini tentang tindakan yang diambil terhadap kandungan yang melanggar dasar kami.

Dasar yang membentuk asas komitmen kami terhadap keselamatan.
Dasar yang berikut ialah sebahagian daripada Standard Komuniti kami.
Facebook tidak membenarkan sebarang kandungan atau aktiviti yang mengeksploitasi atau membahayakan kanak-kanak. Dasar Eksploitasi Seksual, Penderaan dan Kebogelan Kanak-kanak dengan jelas menggariskan kandungan dan imej yang dianggap sebagai pelanggaran dasar ini dan Standard Komuniti kami serta tindakan yang akan kami ambil jika seseorang didapati melanggar dasar ini
Kami mengiktiraf kepentingan Facebook sebagai tempat untuk berbincang dan menarik perhatian terhadap keganasan serta eksploitasi seksual. Dalam usaha mencipta ruang untuk perbualan ini dan menganjurkan persekitaran yang selamat, kami membenarkan mangsa berkongsi pengalaman mereka, tetapi kami perlu mengalih keluar kandungan yang menggambarkan, mengancam atau menggalakkan keganasan seksual, serangan seksual atau eksploitasi seksual. Kami turut mengalih keluar kandungan yang memaparkan, menyokong atau menyelaraskan tindakan seksual dengan pihak yang tidak memberikan keizinan bagi mengelakkan kelakuan seksual tanpa kerelaan.
Kami berunding dengan pakar bunuh diri dan kecederaan diri untuk membantu kami merangka dasar dan penguatkuasaan serta bekerjasama dengan organisasi di seluruh dunia untuk memberikan bantuan kepada orang yang berada dalam kesusahan. Walaupun kami tidak membenarkan orang ramai untuk meraikan atau menggalakkan bunuh diri atau kecederaan diri secara sengaja atau tidak sengaja, kami membenarkan orang ramai membincangkan topik ini kerana kami ingin mewujudkan ruang kepada orang ramai untuk berkongsi pengalaman mereka, meningkatkan kesedaran tentang isu-isu ini serta mendapatkan sokongan sesama mereka. Kami mengalih keluar sebarang kandungan yang menggalakkan aktiviti bunuh diri atau kecederaan diri, termasuk kandungan fiksyen seperti meme atau ilustrasi dan apa-apa kandungan kecederaan diri sendiri yang bersifat grafik tanpa mengira konteks.
Kami mengalih keluar kandungan dan menghalang aktiviti yang memudahkan atau menyelaraskan eksploitasi manusia, termasuk pemerdagangan dan penyeludupan manusia. Kami mentakrifkan pemerdagangan manusia sebagai perniagaan yang merampas kebebasan seseorang demi meraih keuntungan. Perkara ini ialah satu bentuk eksploitasi manusia yang memaksa mereka untuk terlibat dalam seks komersial, buruh atau aktiviti lain tanpa kerelaan mereka. Aktiviti ini melibatkan penipuan, kekerasan dan paksaan serta merendahkan martabat manusia dengan merampas kebebasan mereka sementara orang lain mengaut keuntungan ekonomi dan kebendaan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mentakrifkan penyeludupan manusia sebagai pemerolehan atau pemudahan kemasukan haram ke sesebuah negara merentasi sempadan antarabangsa. Walaupun tanpa memerlukan paksaan atau kekerasan, perkara ini masih melibatkan eksploitasi individu yang lemah yang cuba meninggalkan negara asal mereka demi membina kehidupan yang lebih baik.
Walaupun kami perlu berhati-hati agar tidak menggabungkan pemerdagangan dan penyeludupan manusia, kedua-dua perkara ini saling berkaitan dan menunjukkan persamaan.
Pembulian dianggap sebagai apa-apa aktiviti apabila seseorang membuat ancaman dalam talian atau terlibat dalam tingkah laku berniat jahat terhadap seseorang dalam talian. Dasar ini merangkumi perlindungan terhadap gangguan besar-besaran yang menyasarkan orang perseorangan. Pembulian dan gangguan berlaku di banyak tempat dan hadir dalam pelbagai bentuk. Konteks amatlah penting untuk difahami jika seseorang berasa tidak selamat akibat tingkah laku seperti ini. Kami menggariskan cara kami membezakan tingkah laku ini daripada orang lain untuk mewujudkan keselamatan yang lebih terjamin di Facebook.
Selain garis panduan dasar kami, bahagian pencegahan buli kami menyertakan alat dan sumber untuk para remaja, ibu bapa dan pendidik.
Kami mentakrifkan ucapan berunsur kebencian sebagai serangan langsung terhadap orang lain — bukannya konsep atau institusi— berdasarkan perkara yang kami gelar sebagai ciri-ciri yang dilindungi seperti bangsa, etnik, kewarganegaraan, ketakupayaan, agama, kasta, orientasi seks, jantina, identiti jantina dan penyakit yang serius. Dasar Ucapan Berunsur Kebencian menggariskan jenis kandungan yang kami anggap sebagai Ucapan Berunsur Kebencian dan akan dialih keluar daripada platform kami.
Ucapan berunsur kebencian terhadap komuniti LGBTQ+ adalah dilarang. Untuk mempertahankan standard keselamatan komuniti LGBTQ+, kami telah membangunkan dasar yang sekurang-kurangnya mengalih keluar kandungan yang bertujuan untuk merendahkan martabat atau memalukan seseorang kerana orientasi seksual atau identiti jantina mereka.
Dasar ini menggariskan cara kami melindungi maklumat peribadi yang berkaitan dengan identiti dan aktiviti anda. Dasar ini mempertahankan komitmen kami untuk tidak membenarkan maklumat peribadi dikongsi tentang anda tanpa persetujuan dan bagi mengelakkan bahaya fizikal atau kewangan yang berpunca daripada maklumat peribadi yang dikongsi merentasi teknologi kami.
Kami mengalih keluar kandungan yang terlalu ganas atau grafik seperti video yang menggambarkan pemotongan anggota badan, organ dalaman yang kelihatan atau mayat hangus. Kami turut mengalih keluar kandungan yang mengandungi kenyataan sadis terhadap imejan yang menggambarkan penderitaan manusia dan haiwan.
Kami tahu bahawa orang ramai mempunyai sensitiviti yang berbeza berkaitan dengan imejan grafik dan keganasan. Oleh sebab itu, kami menambahkan label amaran pada beberapa imejan grafik atau ganas supaya orang ramai sedar bahawa kandungan itu mungkin bersifat sensitif sebelum mereka mengklik kandungan tersebut. Kami turut mengehadkan keupayaan kepada pengguna yang berumur bawah 18 tahun untuk melihat kandungan sedemikian.
Cara melaporkan pelanggaran terhadap dasar keselamatan Meta.
Pelaporan pelanggaran memudahkan kami mengetahui tentang penyalahgunaan. Cari jawapan kepada soalan tentang pelaporan pelanggaran bagi setiap dasar ini dan keadaan istimewa lain.
.

Keselamatan di WhatsApp
WhatsApp memandang serius keselamatan dan keterjaminan pengguna kami, maka itulah sebabnya kami melindungi semua panggilan dan mesej pengguna kami dengan penyulitan hujung ke hujung. Kami telah membina WhatsApp dengan mengutamakan keselamatan, privasi dan prinsip keterjaminan yang kukuh. WhatsApp beroperasi secara berbeza daripada media sosial awam, oleh itu kami menangani penyalahgunaan pada platform kami dalam konteks untuk menyediakan perkhidmatan pemesejan peribadi. WhatsApp tidak direka bentuk sebagai platform untuk mengembangkan khalayak, tidak menggunakan algoritma untuk mengutamakan susunan mesej yang diterima oleh orang ramai serta tiada carian dalam aplikasi atau kebolehtemuan bagi orang ramai atau kumpulan yang tidak berhubung. Apabila kami dimaklumkan tentang penyalahgunaan platform, kami mengambil tindakan terhadap akaun dengan melarang akaun tersebut atau menghubungi penguatkuasaan undang-undang.