Hentikan Peras Ugut Seks
Peras ugut seks berlaku apabila seseorang memeras ugut atau mengancam akan mendedahkan imej seksual untuk menyuruh anda melakukan sesuatu, seperti menghantar wang, kad hadiah, atau lebih banyak foto.
Jika anda, anak remaja atau rakan anda diperas ugut, ketahui bahawa ada bantuan untuk mengatasi masalah ini.
Lima cara bertindak balas terhadap peras ugut seks
Dibangunkan oleh Thorn dan diadaptasi oleh Meta, sumber hentikan peras ugut seks ini adalah untuk sesiapa sahaja yang mencari sokongan dan maklumat berkaitan dengan peras ugut seks. Lawati sokongan krisis kami untuk mendapatkan sokongan daripada organisasi di kawasan anda. Bersama-sama, kita boleh membendung peras ugut seks.
Temukan petua

Untuk Penjaga
Anak-anak anda lebih selamat kerana sokongan dan bimbingan anda dalam mengharungi semua cabaran hidup, termasuk semasa mereka berada dalam talian. Terdapat beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk membantu anak anda mengelakkan diri daripada situasi rumit (dan kadangkala berbahaya) seperti peras ugut seks.
Kawal keadaan
Fahami isu.
Peras ugut seks ialah apabila seseorang dalam talian mengancam untuk berkongsi imej atau video eksplisit (bogel atau seksual) melainkan anda memenuhi permintaan mereka. Permintaan ini biasanya termasuk menghantar wang, mengambil lebih banyak gambar atau video bogel atau seksual, atau lain-lain aktiviti yang menyalahi undang-undang. Ancaman ini datang daripada pelbagai jenis orang, sebagai contoh, orang asing yang anda temui dalam talian, seseorang yang berpura-pura menjadi orang lain dalam talian dan pasangan romantis atau seksual yang lalu.
Beberapa petanda bahawa sesuatu mesej mungkin berunsur peras ugut seks adalah: orang itu berkata “Saya akan tunjukkan kepada anda kepunyaan saya, jika anda berbuat demikian”, orang itu berpura-pura daripada agensi pemodelan dan meminta gambar, orang itu menggunakan foto yang telah diubah suai menggunakan photoshop agar kelihatan nyata, orang itu ingin membina hubungan romantis dengan cepat, atau mereka menggunakan berbilang identiti (palsu) untuk menghubungi anda. Jika kedengaran seperti ada udang di sebalik batu, percayai naluri anda.
Jangan panik.
Ini bukan salah anda. Anda tidak bersendirian dan anda boleh menangani perkara ini.
Jika seseorang meminta anda berkongsi sesuatu yang menyebabkan anda berasa tidak selesa, anda boleh menolak, walaupun anda sudah berkongsi sesuatu dengan mereka sebelum ini. Jika mereka cuba membuat anda berasa bersalah, sentiasa ingat: merekalah yang sebenarnya melakukan kesalahan.
Petua pro: Sekiranya seseorang tahu kata laluan anda, ubah dengan segera untuk mengekalkan privasi anda.
Bercakap dengan orang yang anda percayai.
Hubungi rakan karib, guru, kaunselor atau ibu bapa. Tidak tahu cara mengutarakan isu ini? Anda boleh memulakan perbualan seperti ini: "Ada sesuatu yang berlaku dalam hidup saya yang saya perlukan bantuan. Saya tidak pasti dengan siapa saya hendak bercakap. Jika saya beritahu awak, bolehkah awak bantu saya memikirkan perkara yang perlu dilakukan?"
“Mendapatkan bantuan ialah perkara terbaik yang boleh anda lakukan. Insan di sekeliling anda mahukan yang terbaik untuk anda. Mereka mungkin akan marah pada mulanya, namun mereka tetap sayang akan anda... Selain itu, mereka mungkin akan berasa bangga dengan keberanian anda..” - Perempuan, 18, mangsa peras ugut seks yang terselamat
Laporkan dan ketahui tentang alat keselamatan kami.
Adalah melanggar dasar untuk berkongsi, mengugut atau memaksa orang ramai berkongsi foto atau video intim. Kami mengambil tindakan ke atas mereka yang melakukan kesalahan setiap kali kami menyedari perkara ini. Dalam sesetengah keadaan, hal ini juga bertentangan dengan undang-undang. Untuk mengetahui cara melaporkan kandungan, termasuk mesej, lawati pusat bantuan kami untuk Facebook dan Instagram. Hubungi pihak penguatkuasaan undang-undang tempatan anda jika anda berada dalam bahaya dan memerlukan bantuan segera. Ketahui lebih lanjut tentang Alat keselamatan Meta untuk membantu anda kekal selamat.
Mencegah penyebaran imej dan video.
Serahkan kes berserta sebarang imej atau video diri anda kepada Take It Down. Ini ialah perkhidmatan percuma untuk mencegah penyebaran imej dan video intim. Anda boleh kekal tanpa nama dan anda tidak perlu menghantar imej atau video anda kepada sesiapa pun.
Simpan segala-galanya.
Sekat si pemeras ugut, tetapi jangan padamkan profil atau mesej anda. Ini mungkin seperti bertentangan dengan hal yang anda fikirkan, tetapi simpan semua yang telah dikatakan kepada anda dan yang telah anda katakan. Ini akan menunjukkan kepada seseorang perkara yang sedang berlaku, bukan sekadar bergantung pada ingatan anda. Simpan semua perkara sebagai langkah berjaga-jaga.
Dapatkan bantuan.
Lihat halaman sokongan krisis untuk mencari organisasi berhampiran yang boleh membantu anda. Anda juga boleh menghubungi talian penting tempatan anda menerusi Rangkaian InHope untuk membuat laporan atau mendapatkan bantuan. Jika anda berumur bawah 18 tahun dalam imej, sila maklumkan kepada talian bantuan yang dapat membantu orang ramai mengetahui bahawa anda masih bawah umur secara sah dan mengambil tindakan yang lebih agresif.
Ketahui lebih lanjut tentang perlindungan dan teknologi yang telah dibina oleh Meta untuk mencegah dan memerangi peras ugut seks—dan menghentikan penjenayah daripada menimbulkan kemudaratan.
Baca lebih lanjut